Google Malaysia perkenal tiga penambahan baru kepada Google Maps

Google Malaysia memperkenalkan tiga ciri baru pada aplikasi Google Maps. Ia dilengkapi dua panduan trafik dan transit berdasarkan masa sebenar. Merah bagi jalan sesak, kuning bagi bergerak perlahan dan hijau bagi aliran lancar. - Foto BH Online


KUALA LUMPUR: Google Malaysia hari ini memperkenalkan tiga penambahan utama kepada Google Maps, membolehkan pengguna di Malaysia merancang dengan lebih baik perjalanan mereka dan mencari maklumat tepat masa.

Penambahan itu adalah dua lapisan baru, Trafik dan Transit, serta antara muka Bahasa Malaysia.
Sajith Sivanandan, Pengurus Negara Google Malaysia, berkata dengan membuka lapisan Trafik di Maps, pengguna boleh melihat dengan segera sama ada jalan raya sesak atau bergerak lancar berdasarkan kepada kod warna.
"Merah bagi jalan sesak, kuning bagi bergerak perlahan dan hijau bagi aliran lancar.

"Lapisan baru ini memudahkan pemandu untuk merancang laluan alternatif ke destinasi mereka," katanya di sini, hari ini.

Transit menyediakan maklumat mengenai perjalanan menerusi sistem pengangkutan awam Malaysia di Google Maps.

Ia juga menawarkan pilihan lebih baik bagi pengguna Malaysia yang mahu mengelakkan kesesakan trafik dan pergi ke bandar dengan menggunakan pengangkutan awam.
Sajith berkata, data bagi Trafik dan Transit diperolehi daripada pelbagai sumber, termasuk, jabatan pengangkutan kerajaan dan penyedia data swasta.
Sementara itu, Google Maps kini tersedia dalam Bahasa Malaysia (BM).

Versi Bahasa Malaysia Google Maps yang lama ditunggu-tunggu itu memberikan pilihan kepada pengguna untuk mengemudi dan berantara muka dengan Google Maps, menggunakan bahasa yang mereka paling selesa.

"Penambahan baru ini adalah sejajar dengan misi Google untuk mengatur maklumat dunia dan menjadikan ia berguna dan boleh diakses sejagat, di samping mengukuh, menambah baik dan menempatkan produk dan perkhidmatan," kata Sajith. - BERNAMA

Catat Ulasan

Popular