Gejala Sosial

Gejala penyakit sosial dalam kalangan remaja bukan suatu yang luar biasa bagi masyarakat hari ini. Malah, gejala penyakit sosial ini semakin menjadi-jadi setiap hari. Persoalannya apakah  faktor yang mendorong gejala ini ini terus berleluasa?

Gejala kurang sihat ini berlaku kerana para remaja kurang diberi perhatian oleh ibu bapa mereka, khususnya ibu bapa yang bekerja di bandar. Keadaan ini berlaku kerana, ibu bapa sibuk bekerja sehingga mengabaikan tanggungjawab mendidik anak-anak. Setelah keletihan, mereka langsung tidak mahu mengambil tahu tentang pelajaran anak-anak, apatah lagi untuk mendengar masalah mereka. Hal ini pasti menimbulkan rasa bosan, sekali gus menyebabkan anak-anak mencari jalan keluar untuk menghiburkan hati.

Selain itu, mereka terjebak dalam gejala negatif akibat bergaul dengan kumpulan yang salah. Ada sesetengah ibu bapa pula berpendapat bahawa pemberian wang yang secukupnya kepada anak-anak sudah memadai. Mereka seharusnya tahu bahawa kasih sayang tidak dapat dibeli dengan wang.

Segolongan remaja pula mengambil jalan mudah dengan melakukan perbuatan yang tidak baik kerana hendak melarikan diri daripada masalah yang menimpa keluarga mereka, contohnya penceraian antara ibu bapa mereka. Pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara punca berlakunya gejala sosial di negara kita. Para remaja yang buntu dengan masalah yang dihadapi memilih jalan mudah dengan keluar dari rumah untuk mencari kebebasan dengan bergaul dengan kumpulan remaja yang berkelakuan tidak bermoral.

Dalam hal ini, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Guru-guru, misalnya patut memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi para pelajar di sekolah. Kaunseling kepada para pelajar yang bermasalah tentunya dapat membantu mereka mengatasi masalah yang dihadapi dengan lebih tenang dan rasional.

Aktiviti-aktiviti kokurikulum juga mesti dijalankan dengan berkesan supaya para pelajar tidak mempunyai alasan untuk melepak. Di samping itu, pendidikan agama haruslah diterapkan sejak kecil lagi. Tindakan ini dianggap perlu kerana semua agama mengajar penganutnya supaya berkelakuan baik.

Tegasnya, anak-anak muda atau golongan remaja ini haruslah dididik dan dijaga dengan baik kerana mereka merupakan bakal pemimpin negara suatu hari nanti.